Memaknai Adat Budaya Melayu

Etimologi dan Penggunaan Kata

Di antara perkara yang diperkenalkan Islam ke Alam Melayu adalah pengenalan kepada nilai sebuah adat dan makna sebuah ketamadunan. Oleh kerana itu, dua perkataan ini dipinjam secara bulat-bulat dari Bahasa Arab. Orang Melayu pada waktu sebelum kedatangan Islam, tidak mengenali adat dan tamadun. Justeru, dua perkataan ini tidak mempunyai perkataan asal dalam Bahasa Melayu.

Di sini saya memberikan penjelasan ringkas kepada etimologi perkataan. Misal kata, kita mempunyai perkataan cangkir (sebagai bekas minum air) yang kemudiannya digantikan dengan perkataan cawan (茶盞) selepas kedatangan Laksamana Cheng Ho (鄭和,1371-1433). Contoh lain, Melayu juga terkenal sebagai bangsa maritim yang berlayar, demikian kita mempunyai perkataan perahu yang kemudiannya digantikan dengan perkataan kapal (கப்பல்) dari bahasa Tamil selepas abad ke-17. Sekali gus, membuktikan bahawasanya orang Melayu mempunyai kemahiran berperahu dan berlayar yang tersendiri.

Perbahasan yang panjang, Insya-Allah boleh dijadikan makalah khusus untuk membincangkan perihal etimologi dan sejarah perkembangan bahasa.

Takrifan dan Istilah Perkataan

Adat (عادات atau عادَة) bermaksud cara atau kebiasaan. Pada istilahnya, adat merujuk kepada peraturan masyarakat yang diamalkan secara turun-temurun. Adat ada kalanya disalah terjemahkan dengan budaya. Walhal budaya dalam Bahasa Arab dipanggil saqafat (ثقافة) yakni kemajuan fikiran dan akal budi.

Masyhur sebuah ungkapan yang sering disalah ertikan adalah, “biar mati anak, jangan mati adat”, sehingga ada sebahagian daripada kita mencemuh dan memandang adat sebagai sesuatu yang menyusahkan. Ini selari dengan apa yang disebutkan dalam sebaris kata hikmah Arab:-

الناس أعداء ما جهلوا

Terjemahan: “Manusia memusuhi apa yang tidak diketahuinya.”

Adat itu menurut orang tua-tua, sebuah undang-undang atau corak peraturan. Peraturan hidup bermasyarakat, bernegara dan berkeluarga. Justeru, adat yang dimaksudkan dalam ungkapan di atas adalah peraturan dan undang-undang. Jikalau ditimbang beratnya kasih pada anak dan keluhuran perundangan, nescaya keadilan perundangan diangkat; manakala anak pula dibiarkan mati. Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi Sallallahualaihiwassalam: -

فقالَ إنَّما أهْلَكَ الَّذينَ من قبلِكُم أنَّهم كانوا إذا سَرقَ فيهم الشَّريفُ ترَكوهُ وإذا سرقَ فيهم الضَّعيفُ أقاموا عليهِ الحدَّ. وأيمُ اللَّهِ! لَو أنَّ فاطمةَ بنتَ محمَّدٍ سرَقَت لقطعتُ يدَها.

Terjemahan: “Sesungguhnya telah binasa golongan-golongan terdahulu kerana membiarkan golongan atasan yang mencuri daripada dihukum, sedangkan jika golongan bawahan mencuri, mereka dihukum dengan hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya.”. (Sahih al-Bukhari: 3475)

Perbahasan, Perbilangan dan Pembahagian

Masyarakat pada hari ini seringkali memandang adat sebagai sesuatu yang kolot dan mundur kerana pada tanggapan mereka, adat ini sekadar ikutan dan peninggalan silam generasi terdahulu. Pandangan inilah yang menjadikan masyarakat pada hari ini pincang. Anak muda tidak lagi mengenal baik dan buruk; tiada lagi kesantunan dan adab dalam urusan muamalat sehari-harian.

Sejarah kedatangan Islam perlu difahami dan diteliti semula. Islam tidak datang mengajarkan kita sekadar solat dan zakat. Islam mengajarkan kita adat dan ketamadunan. Antara manifestasi adat berpakaian bagi kaum wanita dapat dilihat jelas dalam firman Allah Subhanahuwataala di dalam Surah al-Ahzab ayat ke-33:-

وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى

Terjemahan: “Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah-laku seperti orang jahiliah yang terdahulu.”

Hal ini ada disebutkan oleh Syeikh Safiuddin di dalam Tarikh Fatani tentang perilaku jahiliah wanita Melayu sebelum dan perbezaannya selepas kedatangan Islam. (Rujuk artikel: Melayu Mulia Kerana Islam)

Justeru, adat Melayu yang berteraskan syariat ini perlu diamati semula supaya kita tidak salah faham dalam menerima kemurnian sesuatu maklumat. Adat itu terbahagi kepada beberapa jenis. Perbilangan dan pembahagiannya adalah seperti berikut:-

Adat Sebenar Adat

Adat sebenar adat merujuk kepada adat yang berpaksikan syariat dan ajaran Islam. Sebuah adat yang tidak boleh digubal, dipinda, diubah dan ditukar ganti. Bak kata orang tua-tua, inilah dia adat yang jikalau dianjak layu, diumbut mati; bila diunjuk ia membunuh, bila dialih ia membinasakan.

Adat sebenar adat ini juga ada disebutkan di dalam teromba adat sebagai “adat tak lekang dek panas, adat tak lapuk dek hujan, adat berwaris kepada Nabi, adat berkhalifah kepada Adam.”, yakni al-Quran dan Sunah Nabi Sallallahualaihiwassalam.

Adat inilah dia, “Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah.”, yakni adat yang diambil daripada hukum-hakam syarak yang berpandukan al-Quran dengan penjelasan dari Sunah Nabi Sallallahualaihiwassalam.

Misalnya, urusan nikah cerai dalam munakahat dan kisas (قصاص) dalam jenayah.

Adat yang Diadatkan

Adat yang diadatkan, adalah etika pergaulan kehidupan bermasyarakat. Adat yang ditentukan istiadatnya melalui perubahan dasar dan keputusan muafakat mesyuarat; serta tidak menyimpang dari adat yang sebenar adat. Adat ini berubah sesuai perkembangan masyarakat seperti yang dijelaskan dalam teromba adat sebagai “adat yang diturun raja, adat yang ditumbuh datuk, adat yang dicucur penghulu, (yakni) adat yang dibuat kemudian.”

Misalnya, urusan pentadbiran wilayah daerah dan hal ehwal pemerintahan negeri.

Adat yang Teradat

Adat yang teradat adalah adat yang menjadi kebiasaan masyarakat. Sesuai dengan pepatah Riau, adat ini ibarat nya “sekali air bah, sekali tepian berpindah, sekali zaman beredar, sekali adat berkisar.” Adat yang teradat inilah adat yang dibuat-buat orang yang tidak mesti mengikut adat sebenar adat, dan tidak juga berpandukan adat yang diadatkan.

Dengan sebab itulah, adat ini disifatkan sebagai adat yang “datangnya tidak berberita, perginya tidak berkhabar, kecilnya teranja-anja, besarnya terbawa-bawa.”, yakni tidak tahu di mana asal-usul kemunculannya.

Bidaah dan Budaya

Oleh kerana adat yang teradat ini terbuka kepada perubahan, adat ini juga disebut orang tua-tua laksana “adat yang disarung tidak berjahit, adat yang berkelindan tidak bersimpul, yang dibawa burung lalu, yang tumbuh tak ditanam, yang kembang tak berkuntum, yang bertunas tak beranting.”

Inilah apabila tidak ditegur cerdik pandai dan ulama, menjadi susah pada orang, menjadi songsang pada agama. Permasalahan dalam mengetahui keaslian dan kemurnian adat dan syariat tidak lagi dikenali. Rasulullah Sallallahualaihiwassalam pernah mengingatkan kita dengan bersabda:-

... فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا. فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.

Terjemahan: “ ... Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka, hendaklah kalian berpegang kepada sunahku dan sunah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.” (Sunan Abu Daud, no: 3991/4607)

Bangsa Melayu merupakan sebuah masyarakat yang berpegang teguh dengan agamanya. Kemuliaan bangsa Melayu itu terletak pada agamanya. Justeru, adat orang Melayu sangat terkait dengan syariat Islam. Namun, apa bila ditokoh tambah amalan-amalan yang kemudiannya diadatkan, inilah yang dinamakan bidaah kerana padanya ada “kaifiah khusus”. Imam al-Syatibi Rahimahullah, seorang tokoh Syafiiyah, menjelaskan takrif bidaah:-

طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله سبحانه

Terjemahan: “Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwataala.”. (al-Syatibi, al-I'tishom الإعتصام)), m/s 27.)

Adapun setiap perkara yang dipandang baik itu tidak semestinya baik di sisi Islam. Imam Malik Rahimahullah pernah berkata:-

من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا.

Terjemahan: “Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad Sallallahualaihiwassalam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini ... ”. (al-Syatibi, al-I'tishom الإعتصام)), m.s. 35.)

Kesimpulan

Masyarakat seharusnya bersikap teliti supaya tidak mudah terikut-terikut dengan sebarang adat yang dilakukan. Hanya pada Rasulullah jualah contoh ikutan yang terbaik dalam urusan agama dan adab pergaulan sehari-harian. Seperti firman Allah Subhanahuwataala:-

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Terjemahan: “Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik.” [al-Ahzab 33:21]

Serentak dengan makna teromba adat, “adat menurun, syarak mendaki.”, yakni adat itu menuju kerendahan menunduk kepada syarak. Sedangkan, syarak pula menuju ketinggian dan mengatasi segala gerakan yang menentangnya.

Popular posts from this blog

Mantera Alam Melayu

Rajenda Chola Pewaris Bangsa Melayu ?

Candu Di Tanah Melayu