Melayu Mulia Kerana Islam

Melayu Mulia Kerana Islam

Fitrah manusia berkehendak kepada perkara yang tidak dimilikinya. Maka, kerana itulah seseorang dengan sifat keinsanannya senantiasa ia bercita-cita akan kemewahan dunia kerana manusia itu sentiasa dalam keadaan kikir dan miskin.

﴿لَوْ أَنْتُمْ تَمْلِكُونَ خَزَائِنَ رَحْمَةِ رَبِّي إِذًا لَأَمْسَكْتُمْ خَشْيَةَ الْإِنْفَاقِ ۚ وَكَانَ الْإِنْسَانُ قَتُورًا ۝﴾

Terjemahan: “Kalau seandainya kamu menguasai perbendaharaan rahmat Tuhanku, nescaya perbendaharaan itu kamu tahan, karena takut membelanjakannya. Dan adalah manusia itu sangat kikir.” (Surah al-Israk, ayat 100)

Maklum bahawa sedia penciptaan manusia ini sebagai makhluk yang zalim dan jahil. Oleh kerana itu manusia tertarik kepada keadilan dan keilmuan. Seperti mana firman Allah Subhanahuwataala:-

﴿إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ۝﴾

Terjemahan: “Sesungguhnya manusia itu zalim dan jahil” (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Demikian apa yang dicari oleh bangsa Melayu kerana Melayu tidak lagi menjadi tuan tanah sehingga kita sering membincangkan isu ketuanan Melayu dan Melayu tidak lagi mulia sehingga kita bertungkus lumus mencari kemuliaan Melayu.

Pepatah orang tua-tua ada menyebutkan sikap “menang sorak kampung tergadai” supaya menjadi renungan bersama.

Islam Itu Pemikiran Yang Luas

Islam tidak seperti agama lain yang khusus kepada sesuatu kaum dan bangsa. Seperti mana Kristian yang menghapuskan jejak bangsa dan menghakis budaya di wilayah takluk jajahannya. Tidak juga seperti Yahudi yang eksklusif kepada darah keturunannya sahaja. Jauh sekali seperti Hindu yang semua dewatanya serumpun bangsa. Apatah lagi Budda yang pasif dan sarat dengan falsafah batiniah.

Agama ini tidak sahaja mengajarkan ibadat seperti solat dan zakat. Bahkan agama ini mengajarkan manusia nilai dan cara memahami makna kebebasan. Seperti kata-kata Rib’i kepada Rustum,

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ

Terjemahan: “Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya (dunia dan akhirat), dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Oleh kerana ini sejarah penting untuk kita melihat bagaimana gereja mengongkong keilmuan di zaman gelap Eropah sehingga Islam datang memerdekakannya. Tidakkah kita berfikir?

Melayu Sebelum Kedatangan Islam

Tidak dinafikan bahawasanya di sana terdapat pandangan-pandangan yang menyatakan bahawasanya Melayu sebelum kedatangan Islam ini beragama Hanif (ajaran Nabi Ibrahim) dan sebagainya. Namun, apa yang cuba diketengahkan adalah apa yang tersurat pada wacana perubahan sosiobudaya di alam Melayu sebelum Islam.

Antara perkara yang diangkat kedudukannya di dalam Islam adalah kedudukan orang perempuan seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Faqih Ali (~1600M) di dalam Tarikh Fatani; yang kemudiannya disalin oleh Syeikh Daud al-Fatani (1813M):-

1.      Masyarakat tidak dapat membezakan keseronokan hawa nafsu dan erti sebuah percintaan.

“Dan waktu itu perempuan dan laki-laki tidak kahwin dan tidak haram hendak setidur duduk. Adapun perempuan sangat huriah (حرية, bebas); kalau dia hendak duduk dengan siapa pun boleh belaka.

2.      Orang Melayu tidak kenal makna sebuah perundangan kekeluargaan dan perkahwinan.

“Syahadan maka adalah kahwin nikah tidak ada. Dan sebab itu pun bercampurlah Hindi, dan Cina, dan orang Melayu dan beranak bercucu; jadi orang campuran. Dan orang Melayu pun bercampurlah keturunan zuriat.”

3.      Nilai yang diletakkan kepada orang perempuan hanya sebagai tempat bermalam.

“Adakala Tok Percam berhenti di kampung-kampung dusun banyak beri sambut dengan anaknya suruh tidur dan buat isteri.”

Cukup tiga perkara ini untuk dijadikan iktibar kepada kita supaya difikirkan apakah nilai yang diletakkan kepada seorang perempuan pada zaman sebelum kedatangan Islam dan apa yang berlaku pada hari ini. Muliakah kita pasca 2020?

Peringatan Saidina Umar al-Khatab

Di antara perkara yang ingin dikongsikan kepada pembaca, pejuang atau sahabat pemikir, supaya kita mengambil faedah dan teladan daripada kata-kata yang diungkapkan daripada sahabat Rasulullah Sallallahualaihiwassalam, Saidina Umar al-Khatab.

Beliau merupakan seorang yang diberikan jaminan khusus ke atas kebenaran lisannya daripada baginda Nabi seperti mana sabda baginda:-

إِنَّ اللَّهَ جَعَلَ الحَقَّ عَلَى لِسَانِ عُمَرَ وَقَلْبِهِ

Terjemahan: “Sesungguhnya Allah menempatkan kebenaran pada lisan Umar dan hatinya.” (Riwayat Ahmad, no. 8846)

Juga disebutkan dalam riwayat yang lain,

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ ضَرَبَ بِالْحَقِّ عَلَى لِسَانِ عُمَرَ وَقَلْبِهِ

Terjemahan: “Sesungguhnya Allah meletakkan kebenaran pada lisan Umar dan hatinya.” (Riwayat Ahmad, no. 20333)

Sewaktu pembukaan Kota Suci Elia (إيلياء, nama lama bagi al-Aqsa al-Syarif), diriwayatkan bahawa Amirul Mukminin tidak pergi ke Baitul Mukaddis dengan diiringi rombongan tentera, atau dengan pakaian serba mewah dan tidak juga dengan segala keagungan seorang khalifah. Di sana juga terdapat suatu riwayat yang lemah bahawa beliau berganti giliran menunggang seekor unta dengan khadamnya. Kedua riwayat ini membukti Saidina Umar datang membuka al-Syarif dalam keadaan yang menginsafkan dan mengungkapkan kata yang menggoncangkan semangat, menjadi peringatan buat kita supaya menjadi renungan.

أنا كنا أذل قوم فأعزنا الله بالإسلام فمهما نطلب العز بغير ما أعزنا الله به أذلنا الله

Terjemahan: “Sesungguhnya kita adalah sehina-hina kaum. Maka, Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Sekiranya kita menuntut kemuliaan dengan suatu kemuliaan selain daripada apa yang Allah muliakan kita dengannya, nescaya Allah akan menghina kita.”

Juga disebutkan oleh Imam Ibn Katsir di dalam al-Bidayah wa an-Nihayah pada juzuk yang keempat, muka surat ke 50,

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فلا نطلب بغير الله بديلاً

Terjemahan: “Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam, maka janganlah kita menuntut kemuliaan kepada selain daripada Allah.”

Di dalam riwayat-riwayat yang lain juga menyebut:-

إنكم كنتم أذل الناس، وأحقر الناس، وأقل الناس، فأعزكم الله بالإسلام، فمهما تبتغون العزة في غيره، أذلكم الله

Terjemahan: “Sesungguhnya kita semua ini adalah sehina-hina manusia, adapun kamu semua dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah.”

إِنَّا قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، فَلَنْ نَلْتَمِسُ الْعِزَّ بِغَيْرِهِ

Terjemahan: “Sesungguhnya kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam. Oleh itu, sama sekali kita tidak akan mencari kemuliaan dengan cara yang selainnya.”

نحن قوم أعزَّنا الله بالإسلام فمهما ابتغينا العزَّة في غيره أذلَّنا الله

Terjemahan: “Kita ada kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sekiranya kita berkehendak pada kemuliaan selain daripadanya, nescaya Allah menghina kita.”

Islam Pemangkin Ketamadunan Melayu

Kedatangan Islam ke Alam Melayu membawa kemakmuran. Natijahnya mendorong kepada kemajuan dalam bidang pengetahuan yang akhirnya menjadikan orang Melayu pakar dalam pembinaan, mahir dalam pelayaran, cekap dalam pentadbiran, tersusun dalam pertanian, maju dalam perdagangan dan berbagai lagi kejayaan. Misalnya di Patani, ketiga-tiga pucuk meriam yang menjadi kebanggaan, Seri Negeri, Tok Buk dan Nang Liu-Liu dibina selepas kedatangan Islam.

ต่อมาเจ้าเมืองก็สั่งให้โต๊ะบันดารา หล่อตัวปืนใหญ่โดยนายช่างซึ่งเป็นชาวเมืองโรม ชื่อว่า อับดุลซอมัด ที่หน้าหมูบ้านเติมบาฆา นั้นเอง ในไม่ช้าก็หล่อสำเร็จ แต่ก็จะใช้ยิงไม่ได้เพราะทองเหลืองนั้นบานมาก ดังนั้นเจ้าเมืองจึงสั่งให้ทำลายและให้หลอมใหม่เป็นสามกระบอก วันปีที่หล่อปืนใหญ่ครั้งนั้นเป็นปีที่เจ็ดสิบแปดแห่งฮิจเราะ ตรงกับวันที่สาม เดือนรอมฎอน คืนวันอังคาร โดยเดชะบารมีแห่งเจ้าเมือง ปืนใหญ่ทั้งสามก็สำเร็จสมประสงค์ เมื่อหล่อปืนเสร็จจึงให้ชื่อกระบอกที่หนึ่งว่า ศรีนัครี กระบอกที่สองชื่อโต๊ะ โบะ และกระบอกที่สามชื่อว่านางลิวๆ

Terjemahan: “Hatta antara tiga tahun selangnya, maka bedil itu pun disuruh rombak oleh baginda dijadikan tiga pucuk pula. Adapun tatkala menuang dia itu, hijrah Nabi Sallallahualaihiwasallam kurang dua delapan puluh, pada tahun tikus, pada tiga hari bulan Ramadan, pada malam Selasa. Maka, dengan daulat duli baginda, bedil tiga pucuk itu pun dituang oranglah dengan sempurnanya. Setelah sudah, maka dinamainya yang pertama Seri Negeri dan yang kedua bernama Tok Buk dan yang ketiga bernama Nang Liu-Liu . Demikianlah hikayatnya.” (Hikayat Patani)

Patani juga dikatakan aman makmur dan sentosa sehingga dapat membina Masjid Kerisik yang merupakan masjid pertama di Asia Tenggara:-

เมืองปัตตานีขณะนั้นก็มีความอยู่เย็นเป็นสุข พวกพ่อค้าต่างเมืองก็พากันมาทำการค้าขายกันเป็นอันมาก

Terjemahan: “Maka, negeri Patani pun bertambah sentosa dan makmurnya dan dagang senteri pun terlalu banyak pergi datang.” (Hikayat Patani)

สุลต่านมุดาฟาร์ซาฮ์ จึงรับสั่งบันดาราให้จัดสร้างมัสยิดตามคำแนะนำของเซ็คซอฟียุดดิน

Terjemahan: “Arakian maka, Sultan Mudzaffar Syah pun memberi titah kepada bendahara menyuruh berbuat masjid seperti sembah Syeikh Safiuddin itu.” (Hikayat Patani)

Ini terbukti bagaimana Islam menjadi lonjakan kepada kestabilan dan kemakmuran di Patani walhal segala ibadah tiada dikerjakan. Di dalam Hikayat Patani ada menyebutkan:-

อย่างไรก็ดีการปฏิบัติอันเป็นพฤติการณ์ของชาวกาฟีรฺนอกศาสนา เช่น การกราบไหว้ต้นไม้ หิน และภูตผีนั้น ชาวบ้านก็ยังหาได้งดเว้นไม่ คงงดเว้นแต่เฉพาะการกินเหล้าและกินหมูเท่านั้นที่งดเว้นจริงๆ

Terjemahan: “Syahadan sungguhpun demikian, yang pekerjaan kafir seperti menyembah kayu batu dan tambun itu tiada ditinggalkannya, sehingga menyembah berhala dan makan babi itu juga tiada dikerjakannya; demikianlah hikayatnya asal raja Islam pada negeri Patani ini.” (Hikayat Patani)

Bidaah Punca Kejatuhan Melayu

Di antara perkara yang gagal difahami oleh kebanyakan masyarakat adalah kegagalan dalam memahami tujuan beragama itu sendiri. Islam tidak datang ke alam Melayu sekadar mengajarkan solat dan berpuasa semata-mata. Bahkan agama inilah yang membentuk pemikiran, membina ketamadunan dan pemangkin kepada pembentukan sahsiah.

Kita tidak mulia kerana diri kita, kita menumpang kemuliaan apa yang kita berpegang dengannya. Seorang sultan tidak mulia kerana dirinya, dia mulia kerana kedudukan yang disandangnya. Begitu juga seorang tokoh, tidak mulia kerana dirinya tetapi ketokohannya. Justeru kita akan melihat betapa ramai orang jahil diangkat kerana pangkat darjat, dan betapa ramai ilmuwan disisihkan kerana kurang pada harta kebendaan.

Apabila Islam tidak lagi dengan keasliannya, maka nilainya hilang. Seperti mana sebuah jentera berjenama akan hilang nilainya apabila diubah suai dengan barangan tiruan. Hal ini disebutkan oleh Nabi Sallallahualaihiwassalam:-

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ

Terjemahan: “Barang siapa yang mengada-adakan suatu perkara di dalam urusan (agama) kami ini yang tidak ada dasar di dalamnya, maka amal itu tertolak. (Riwayat Bukhari no. 2697 dan Muslim no. 1718)

Apabila Islam kehilangan nilainya dan yang berpegang dengannya juga bukan dengan pegangan Islam, maka muncullah segala perkara khurafat dan tahayul apa yang disebutkan orang sebagai mistik Alam Melayu. Kemudiannya, masuk falsafah-falsafah karut bidaah seperti kesufian yang melampau sehingga menolak syariat di atas nama hakikat dan sebagainya. Sekali gus, menyumbang kepada keruntuhan pemikiran dan kepincangan gagasan yang akhirnya tidak menjadikan Melayu berjaya di dunia dan apatah lagi di akhirat kelak. Allah Subhanahuwataala berfirman:-

﴿وَمَنْ كَانَ فِى هَٰذِهِۦٓ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلْأَخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيْلًا ۝﴾

Terjemahan: “Dan barang siapa buta (hatinya) di dunia ini, maka di akhirat dia akan buta dan tersesat jauh dari jalan (yang benar).” (Surah al-Israk ayat 72)

Tuntasnya, kemuliaan bangsa ini hanya sanya akan diraih dengan kesungguhan kita dalam menegakkan syiar agama Islam dalam kehidupan seharian. Melayu tidak akan mulia secara individu, tetapi secara kolektif. Kemuncak kepada kemuliaan orang Melayu adalah apabila masjid di waktu Subuh dipenuhkan dan saf-saf jemaah diluruskan. Selain daripada ini, Melayu tidak akan pernah mulia dan akan kembali kepada kehinaan yang belaku di zaman jahiliahnya. Wallahualam.


Popular posts from this blog

Mantera Alam Melayu

Rajenda Chola Pewaris Bangsa Melayu ?

Candu Di Tanah Melayu