Cerita Hang Lipo, Ode Persahabatan Kedua-dua bangsa China-Malaysia

 Pengulas : MUHAMMAD HELMI JAAFAR, 2022

Pengarang artikel ini ialah Professor Kong Yuanzhi ( Foreign Language, University of Peking, Beijing) dengan tajuk artikelnya, ‘Cerita Hang Lipo, Ode Persahabatan Kedua-dua bangsa China-Malaysia’. Dalam artikel ini penulis cuba menghurai beberapa persoalan yang dikemukakan oleh ramai teman beliau dan mahasiswa Malaysia sewaktu menjadi professor pelawat di Universiti Malaya dari Mei 1999 hingga Mei 2000. Antara persoalan yang cuba dihuraikan berlegar dari ketulenan cerita sejarah Hang Lipo itu sendiri, kaitan Hang Lipo dengan  Laksamana Cheng Ho dan sebagainya.

Isu pokok yang dihurai penulis dalam artikel ini adalah berkenaan dengan kesahihan atau ketulenan cerita sejarah mengenai Hang Lipo, samada beliau memang sebenarnya puteri kepada Maharaja Dinasti Ming atau sebaliknya. Isu lain adalah berkaitan dengan hubungan Laksamana Cheng Ho dan Hang Lipo dan seterusnya adalah isu mengenai keharmonian dan kelangsungan hubungan dua hala antara China dan Malaysia khususnya dan juga hubungan China dan masyarakat Melayu nusantara secara amnya sebelum abad ke 15 lagi.

Penulis menyatakan cerita Hang Lipo berasal dari Sejarah Melayu, karya Tun Seri Lanang ( Perdana Menteri Empayar Johor abad ke 17). Walaupun penulis bersetuju bahawa karya sejarah Tun Seri Lanang amat penting dalam merekodkan perjalanan sejarah Melayu itu sendiri, namun beliau berpendapat sebahagiannya hanya berdasarkan legenda atau fiksi sahaja terutama mengenai  Puteri Hang Lipo.

Ramai yang menganggap cerita tersebut sebagai fakta sejarah. Penulis mengutarakan petikan dari beberapa akhbar di Malaysia samada akhbar berbahasa China atau Melayu yang menunjukkan penerimaan cerita ini sebagai fakta sejarah. Begitu juga melalui pementasan seni seperti tarian, drama dan juga teater. Sejak tahun 1960, pertunjukan demi pertunjukkan dipentaskan oleh pelbagai institusi dan seniman dua bangsa tersebut yang telah mengukuhkan penerimaan bahawa Hang Lipo adalah seorang puteri Maharaja China yang telah dikahwinkan atas dasar politik.

Penulis seterusnya mengemukakan hujah bahawa dalam buku sejarah China tidak terdapat catatan tentang perkahwinan Puteri Maharaja China Dinasti Ming dengan Seorang Sultan dari Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke 15. Sedangkan terdapat banyak catatan tentang perkahwinan antara puteri raja-raja China dengan raja negeri asing. Penulis memberikan contoh antaranya ialah perkahwinan  Puteri Wen Chen dan Puteri Jin Cheng dari Dinasti Tang yang telah berkahwin dengan Raja Tu fan dari Tibet pada abad ke-7 dan 8. Malahan Puteri Hang Lipo yang dikaitkan dengan Dinasti Ming dan Sultan Mansur Syah tidak terdapat langsung dalan buku sejarah China. Saya bersetuju dengan penulis dalam isu ini,  memandangkan dalam sejarah Dinasti Ming dan buku-buku sejarah China lainnya bukan sahaja ada catatan tentang semua perkara penting berkaitan hubungan China-Melaka pada abad ke-15, malah catatan dibuat dengan sangat terperinci tetapi sehingga kini masih belum dijumpai apa-apa catatan yang dapat dikaitkan sebagai bahan bukti. Kenyataan Professor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim bahawa tiada catatan bertulis untuk dijadikan bukti kewujudan Hang Lipo, Puteri Maharaja Dinasti Ming ( The Star Online) juga mengukuhkan hujah cerita Hang Lipo hanyalah mitos. Sarjana Barat, Levathes pula hanya menyatakan cerita Hang Lipo sangat terkenal dan menjadi salah satu cerita rakyat yang dipelajari kanak-kanak di Melaka.

Dalam artikel ini, penulis menyentuh juga isu berkaitan Laksamana Cheng Ho yang dikatakan bertanggung jawab mengiring Puteri Hang Lipo ke Melaka. Menurut catatan di dalam Sejarah Melayu, seorang Menteri China yang bernama Di Po telah ditugaskan untuk menghantar Puteri Hang Lipo ke Melaka. Jelas di sini, penglibatan Cheng Ho boleh dipertikai walaupun ada catatan yang menunjukkan kehadiran beliau di Melaka pada pelayarannya yang ke-7. Penulis menyanggah penglibatan Cheng Ho dalam cerita Hang Lipo. Beliau mengatakan tiga tokoh sejarah iaitu Ma Huan, Fei Xin dan Gong Zhen yang ikut serta dalam pelayaran-pelayaran Chen Ho tidak pernah menyebut nama Hang Lipo dalam buku-buku mereka. Penulis menambah berdasarkan sejarah bahawa Cheng Ho telah meninggal dunia pada tahun 1433 sedangkan Sultan Mansur Syah bertakhta sekitar tahun 1456-1477. Ini jelas menunjukkan ketidakterlibatan Cheng Ho menghantar Hang Lipo berserta rombongan seramai 500 orang ke Melaka.

Walaubagaimana pun, penulis tidak menafikan kemungkinan terjadinya perkahwinan puteri China dengan Sultan Mansur Syah samada puteri pembesar dinasti China pada ketika itu atau pun wanita China tempatan tapi yang pastinya penulis menolak dakwaan Hang Lipo adalah Puteri Maharaja Dinasti Ming. Penulis menguatkan hujah beliau dengan catatan Purcell bahawa Sultan Megat Iskandar Syah telah mengahwini puteri seorang kapitan China di Melaka dan dapat dipastikan kapitan tersebut telah lama menetap di Melaka.

Penulis mengandaikan cerita Hang Lipo dalam Sejarah Melayu hanya untuk menyatakan telah wujud hubungan diplomatik dan hubungan keluarga antara Kerajaan China dengan Kerajaan Melaka pada ketika itu dengan tujuan menjauhi ancaman serangan Siam. Menurut Dr Zaharah Sulaiman, dunia Melayu Nusantara pada masa itu sering mendapat ancaman dari Kerajaan Dai-viet Siam yang melaksanakan polisi Nam tein iaitu penghapusan etnik. Penulis juga menghuraikan sejarah hubungan China dan Melaka di mana China sentiasa menjadi pelindung kepada Kerajaan Melaka.

Hubungan baik Kerajaan Melayu Nusantara dengan Kerajaan China bukan bermula sewaktu kegemilangan empayar kesultanan Melaka malah lebih awal lagi. Sebagai contoh antara Kerajaan awal yang mempunyai hubungan baik dengan China ialah empayar kesultanan Brunei. Negara Brunei telah wujud sebagai sebuah Negara merdeka sebelum 517 masehi lagi. Catatan China zaman Dinasti Shui (581-619), Negara Brunei disebut dengan nama Po Li, Zaman Dinasti Tang (618-906 M) pula Brunei disebut dengan nama Po Lo. Hubungan baik yang merupakan kunjungan ke Istana Maharaja China juga telah dilakukan pada masa itu. Menurut catatan China pada 977 M, Raja Brunei telah menghantar utusan ke China dan dicatat sebagai perutusan yang cekap dan teratur.

Pada asasnya penulis tidak memberi perspektif yang baru terhadap isu ini. Kesahihan cerita Hang Lipo di dalam buku Sejarah Melayu telah lama diperdebatkan. Namun demikian penulis telah mendasari hujah-hujah yang dikemukakan dengan sumber-sumber yang agak kuat.  Dengan tidak adanya sumber betulis dari sejarah dinasti Ming yang mencatat tentang perkahwinan Puteri empayar itu dengan seorang raja dari kesultanan Melayu Melaka sudah cukup menjadikan cerita Hang lipo bukan fakta sejarah

Disebalik menolak kesahihan cerita Hang Lipo sebagai fakta sejarah, penulis melihat cerita Hang Lipo di dalam tulisan Tun Seri Lanang sebagai sesuatu yang positif dalam menyatakan keharmonian hubungan antara dua bangsa dan negara pada masa lampau. Penulis juga mengajak pembaca mengimbau kerjasama dan perpaduan yang telah terjalin antara dua bangsa ini dalam perjuangan menuntut kemerdekaan  Tanah Melayu yang semestinya dipupuk dan diteruskan demi masa depan yang lebih gemilang.

Perbincangan artikel ini bukanlah sesuatu yang baru. Perdebatan cerita Hang Lipo tentang kesahihannya sebagai fakta sejarah telah lama dicetuskan. Namun demikian disebalik legenda dan mitos, cerita Puteri Hang Lipo boleh dianggap sebagai cerita rakyat yang disenangi ramai  dan mampu memupuk perpaduan  serta keharmonian hubungan antara dua bangsa ini yang sudah sedia terjalin sejak ribuan tahun yang lampau.



Bibliogafi

Haji Awang Mohd Jamil Al Jufri, Liku-liku Pencapaian Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Percetakan kerajaan, Kementerian Undang-Undang Negara Brunei Darussalam.

Prof Khoo: “No Record Of The Existence Of Princess Hang Lipo; its a myth”, the Star Online, 16 Januari 2012, di petik pada 27 Mac 2014, http://www.thestar.com.my/News/Nation/2012/01/16/Prof-Khoo-No-record-of-the-existance-of-Princess-Hang-Li-Po-its-a-myth/

Zaharah Sulaiman, Sejarah Alam Melayu Tamadun Berzaman, Asal Usul Melayu Induknya Di Alam Melayu, DBP


Comments

Popular posts from this blog

Mantera Alam Melayu

Rajenda Chola Pewaris Bangsa Melayu ?

Candu Di Tanah Melayu