Hikayat Tanah Hindia
Hikajat Tanah Hindia
by G. J. F. Biegman
ms 3
Adapun pulau-pulau Hindia ini didiami suatu bangsa orang, yang bernama bangsa Melayu, hanya tanah Papua serta beberapa pulau yang sekelilingnya diduduki bangsa Papua. Lain daripada pulau yang tersebut itu, tanah Melaka dan pulau-pulau yang kecil di benua Australia dan pulau Madagaskar pun didiami juga oleh bangsa Melayu. Maka yang menyatakan bahawa segala orang itu sama bangsamya, ialah warna rambutnya dan rupa mukanya dan beberapa sifat lagi yang sama; tambahan pula bahasa-bahasa orang itu pun tentulah sama asal-usulnya, boleh dikatakan serumpun. Sungguhpun orang itu sebangsa, tetapi adatnya dan kepandaiannya berlainan.
Adapun hikayat tanah Hindia iaitu hikayat bangsa-bangsa yang terlebih pandai dan yang terlebih halus adatnya, sebab ia telah bercampur dengan bangsa yang lebih pandai.
Maka orang asing yang telah mengubah dan membaiki adat lembaga orang Hindia, iaitu orang Hindu dan orang Arab dan orang Portugis dan orang Belanda.
Akan tetapi bukan segala bangsa Hindia berjinak-jinakan dengan orang asing itu; ada yang beratus-ratus tahun di bawah hukum orang itu, umpamanya orang Jawa; ada yang jarang bertemu dengan mereka itu, ada pula yang tiada berjumpa dengan orang asing itu. Maka di antara orang...
ms 4
...yang di bawah hukum orang Hindu ada; yang terutama mengubah adat nenek moyangnya iaitu yang dekat kedudukan raja Hindu, tetapi yang jauh dari ibu negeri hampir tiada berubah kelakuannya, sehingga pada abad yang ketujuh belas ada lagi di pulau Jawa suatu bangsa orang, yang selalu berpindah-pindah dengan tiada tetap tempat kediamannya: bangsa itu bernama bangsa Kalang.
Hatta, maka peri hal orang sini sebelum orang Hindu datang tiada kita ketahui: agaknya sama halnya dengan bangsa Hindia yang sekarang lagi bodoh, tetapi mereka itu sudah pandai juga menempa besi dan bertanam padi di ladang, kerana kata "besi" dan "padi" iaitu kata asali, bukan kata Hindu; kata itu lazim pada seluruh tanah Hindia, akan tetapi sebutannya tiada sama dalam segala negeri. Umpamanya "besi" dinamai oleh orang Jawa "wesi", oleh orang Batak "besi", oleh orang Halmahera/Harafura "wasai".
Adapun agama orang pada zaman purbakala itu seperti yang tersebut di bawah ini: Pada sangka orang itu segala barang bernyawa, baik binatang, baik tumbuh-tumbuhan, baik batu dan lain-lain ada yang sakti, iaitu yang amat besar kuasanya, umpamanya pohon kayu yang besar dan gunung dan senjata. Apabila orang mati, maka penghidupannya di akhirat seperti di dunia ini, sebab itu orang yang kematian biasanya meletakkan makanan dan perkakas dan senjata dalam kuburan, dan lagi dibunuhnya tawanan dan hamba, supaya nyawa orang yang dibunuh itu menjadi hamba nyawa orang yang mati itu.
Demikianlah fikiran orang pada zaman dahulu itu. Sungguhpun kebanyakan orang Hindia sekarang sudah lama masuk Islam, tetapi beberapa adatnya asal daripada agama yang lama itu.
Bermula: maka tiada kita ketahui, apabila orang Hindu mendapati tanah Hindia, tambahan lagi tiada juga tentu pulau yang mana mula-mula disinggahinya; tetapi sepanjang khabar orang pada abad yang kedua pulau Jawa sudah diduduki oleh Hindu, serta dinamainya Jawa-dwipa.
ms 5
Jawa ertinya enjelai, dwipa ertinya tanah: jadi Jawa-dwipa ertinya tanah enjelai.
Maka orang Hindu seolah-olah guru kepada orang Hindia, diajarkannya rupa-rupa ilmu yang terutama sekali, iaitu: menulis, main wayang dan gamelan, bersawah, membuat jalan, memahat batu hidup, membuat batu tembok. Oleh kerana itu adat yang kasar dihaluskan oleh orang Hindu; akan tetapi orang Hindu tiada mengajar orang Hindia dengan sengaja, melainkan orang negeri meniru pekerjaan dan adat orang asing itu.
Adapun orang Hindu bercampur dengan orang besar-besar di tanah Hindia, maka orang banyak dihinakannya amat sangat seperti hamba sahaja. Di Hindustan orang terbahagi atas empat pangkat, iaitu:
Pertama: Orang Brahmana; dalam orang yang berpangkat demikian dipilih orang yang akan menjadi pendeta.
Kedua: Orang Ksatria; iaitu raja-raja dan hulubalang.
Ketiga: Orang Waisya; iaitu saudagar, pemukat, orang ladang dan tukang.
Keempat: Orang Sudra; iaitu keturunan orang yang tunduk.
Maka aturan ini dipindahkan oleh orang Hindu ke tanah Hindia: sebab itu orang yang kebanyakan dimasukkannya pangkat Sudra. Pada persangkaan orang Brahmana, orang Sudra bukan manusia; oleh kerana itu membunuh orang itu bukan dosa yang besar.
Syahdan, maka agama orang Hindu ada dua macam yang terutama sekali, agama Brahma dan agama Buddha namanya.
Maka menurut agama yang pertama itu, dewa Brahma iaitu pokok seluruh isi alam, maka Brahma disertai dua dewa yang besar-besar, Wisnu dan Siwa namanya. Adapun Wisnu memeliharakan isi alam; ialahlah yang menguasai hujan dan air dan udara. Maka Siwa membinasakan segala sesuatu yang diadakan oleh Brahma; oleh sebab itu Siwa disamakan orang dengan api dan waktu: bukan—
ms 6
...kah api membinasakan barang sesuatu yang ada, bukankah tiap barang lama-kelamaan lapuk atau rosak?
Sungguhpun Brahma dewa yang terutama sekali, tetapi banyak orang Hindu menyembah Vishnu dengan tidak mengindahkan Brahma dan Shiva; ada pula yang menghormati Shiva lebih daripada dewa yang lain itu. Adapun berhala Shiva di pulau Jawa separuh mukanya hebat (menakutkan), separuh lagi seperti orang bertapa, maka dewa yang bertapa itu dinamai oleh orang Jawa sebagai Batara Guru. Maka isteri Shiva bernama Durga, tetapi disebut oleh orang Jawa sebagai Rara Jonggrang, maka dewa itu memperanakkan dewa Ganesha, berhalanya seorang yang gemuk badannya, kepalanya kepala gajah sebagai lambang dewa itu berbudi dan bijaksana.
Lain daripada dewa yang tersebut di atas ini ada lagi yang disembah oleh orang Hindu, misalnya Surya, iaitu dewa yang menguasai matahari, dan Indra, yang menjaga syurga. Maka adalah suatu adat orang yang menyembah Shiva: apabila raja atau orang besar mangkat, maka mayatnya dibakar, serta segala isteri gundiknya menikam dirinya dengan keris, lalu rebah ke dalam api.
Hatta, maka nama agama Buddha asalnya daripada orang yang membangunkan agama itu ± 600 tahun S.M. (Sebelum Masihi), maka orang itu anak raja, namanya Gautama, negerinya di kaki gunung Himalaya. Adapun Gautama dukacita melihat kesengsaraan manusia, maka terbitlah niat dalam hatinya hendak membangunkan agama yang lain. Oleh kerana itu dibuangnya sekalian kesukaan dan kebesarannya, serta ia bertapa enam tahun lamanya; kemudian daripada itu ia menjadi fakir dan mengajarkan agamanya di Hindustan. Maka Gautama digelari oleh muridnya Buddha, ertinya yang mulia.
Adapun perkara agama Buddha yang terutama sekali, iaitu: [orang yang membunuh nafsunya dan mengasihi...]
ms 7
...Segala orang, baik mulia, baik hina, dan lagi dengan sungguh-sungguh hati mengampuni dosa orang yang menganiaya dia, maka orang itulah berbahagia.
Jikalau seseorang manusia malang nasibnya, tidak dapat tidak adalah kerana ia berdosa sebelum ia lahir, sebab mengikut fikiran Buddha tiap-tiap manusia lahir beberapa kali di dunia ini; apabila ia mati, maka nyawanya masuk pula ke dalam badan yang lain. Demikianlah nyawa itu berpindah dari sebuah tubuh ke dalam sebuah tubuh, hingga tidak berdosa sedikit jua pun; kemudian nyawa yang sempurna itu hilang ke dalam Brahma, seperti sungai bermuara di laut.
Supaya manusia selekas-lekasnya merasai selamat itu, haruslah dibuangkannya kesukaan dunia ini, sehingga nafsu yang jahat tidak timbul dalam hatinya.
Lagi pula Buddha hendak menghilangkan keempat-empat pangkat (kasta) orang di Hindustan, katanya: "Segala orang sama pada pandangan Brahma, barang siapa yang suci dan lurus hatinya, dialah yang dikasihi Brahma."
Maka Buddha biasanya mendatangi orang yang melarat serta menghiburkan hati mereka.
Alkisah, maka tatkala agama Buddha dibawa ke tanah Hindia, Buddha sudah lama meninggal; sebab itu agamanya sudah berubah dan bercampur dengan agama yang lain, pada sangkaan orang, Buddha iaitu dewa Vishnu yang telah menjelma.
Syahdan, maka di tanah Jawa Tengah ada tempat sembahyang (candi) orang Hindu yang indah-indah, separuhnya candi Shiva, separuhnya candi Buddha; maka candi Buddha yang mahsyur sekali iaitu Candi Borobudur di Kedu; ada pula di Padang Darat dekat Muara Takus. Maka kebanyakan candi di pulau Jawa didirikan oleh orang yang menyembah Shiva; yang elok sekali iaitu: Candi Penataran dekat Blitar, candi yang amat banyak di Gunung Dieng, candi Sewu dekat Prambanan di sempadan Surakarta dengan Yogyakarta.
ms 8
Maka di tanah Jawa sebelah barat tidak ada candi, hanyalah batu bersurat dan berhala, yang buruk rupanya.
FASAL II
HIKAYAT KERAJAAN-KERAJAAN HINDU
Bermula, maka dalam fasal yang dahulu sudah diceritakan, bahawa tidak nyata pada kita, bilamana orang Hindu datang dan di mana mula-mula tempat kedudukannya. Adapun pokok hikayat, yang menyatakan hal tanah Hindia pada zaman purbakala, iaitu surat (tulisan) dan barang, yang tinggal daripada masa itu, umpamanya surat, yang terukir pada berhala dan pada batu dan loyang (gangsa/tembaga) yang berkeping-keping, ada juga yang tercat pada batu besar di lereng gunung. Maka surat itu sedikit sahaja, serta setengahnya sampai sekarang belum difahami ertinya.
Lagi pula ada banyak dongeng dan syair dari zaman dahulu; tetapi tidak berapa gunanya, sebab dalam cerita itu diriwayatkan dewa-dewa Hindu dan orang yang sakti, sebagai Arjuna dan Krishna dan Bima. Ada suatu cerita Jawa, namanya Baron Sakendar; dalam cerita itu tersebutlah hikayat Mur Jang Kun, iaitu Gubernur-Jenderal Jan Pieterszoon Coen, maka surat itu dihiasi amat sangat, sehingga berlainan sekali dengan hikayat Tuan Besar Coen, yang dikarang oleh orang Belanda.
Meskipun hikayat yang lama (babad) itu tidak benar-benar (tidak tepat), tetapi tidak ada khabar daripada zaman dahulu yang lain; oleh kerana itu di bawah ini diriwayatkan beberapa kerajaan Hindu sepanjang babad Jawa itu.
Alkisah, maka tersebutlah perkataan seorang orang Hindu, yang bernama Aji Saka. Maka orang itu membunuh raja di Medang Kamulan dengan tipu daya, maka raja...
Comments
Post a Comment